Wednesday, February 6

Diari Ummi Buat Adam al Hafiy : 6 months

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah anak Ummi sudah berumur 6 bulan. Bermakna dengan izin Allah Taala, Ummi telah berjaya melalui 6 bulan pertama menyusukan Adam sepenuhnya dan Ummi anugerahkan Diploma Penyusuan untuk diri sendiri :) . Walaupun stok susu telah tiada, hanya dengan kais pagi minum pagi esok tapi Ummi yakin dengan kuasa Allah Taala. 

Adam juga telah Ummi berikan "semi-solid food" pada 11/1/2013. Bermulalah proses cuba dan lihat berdasarkan 4 days rule. Setakat ini Adam hanya lulus ujian keledek, prune dan pear sahaja. Pisang, peas dan carrot tidak sesuai untuk perut Adam setakat ini sebab mengakibatkan sembelit. Ummi risau bila Adam sembelit, bermacam-macam cara Ummi cuba seperti berikan Adam puri prune, mandikan dengan air suam, buat senaman seperti kayuhan basikal, berikan air masak dan urut perut seperti arah pergerakan jam. Ummi rasa Adam sembelit sebab Adam tidak suka minum air masak. Bila diberikan air masak Adam akan semburkan balik dan buat-buat seperti muntah. Tapi Ummi tak putus asa, cuba dan terus mencuba memberikan Adam air masak setiap hari.

Genap 6 bulan 3 minggu 5 hari iaitu pada 5/2/2013, Adam telah berjaya menyusur dengan laju. Skill berguling semakin jarang digunakan oleh Adam untuk bergerak. Ummi gembira kerana anak Ummi semakin membesar dengan sihat. Ummi bila dukung Adam lama sengal tangan juga rasanya sebab berat Adam sudah mencecah 7.5kg.

Adam memang ramah, ada sahaja yang dicakapkannya. Walaupun Ummi tidak faham tapi Ummi tahu Adam gembira. Perkataan yang sering Adam sebut adalah "atatatah dan abababah". Kalau tengok cermin Adam akan ketawa sambil melompat-lompat. 

Enzema Adam Alhamdulillah semakin berkurangan dengan usaha meletakkan Super Soothing Rescue Lotion dan Super Soothing Rescue Baby Bath yang bebas dari bahan kimia keluaran Buds Baby. 

Ummi harap Adam membesar dengan sihat dan jadi anak dan Muslim yang soleh bila dewasa nanti. Semoga Adam berjaya dalam kehidupan dan maafkan Ummi kerana terpaksa meninggalkan Adam 8 jam sehari.

Sekian, Wassalam

Catatan oleh Ummi pada 6/2/2013


Saturday, November 24

al-Kisah Kain Lampin

Assalamulaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Kain Lampin....... walaupun tidak digunakan sebagai lampin tapi masih penting untuk kegunaan seorang bayi. Sekarang ni sudah ada kain lampin yang cantik dengan corak berwarna-warni.
Tapi sewaktu Adam dilahirkan, saiz badan Adam agak panjang dan berisi jadi saya perlukan kain lampin yang  besar untuk membedungnya dengan kemas.
Saya cuba membeli pelbagai jenama namun yang paling menepati ciri- ciri yang saya mahukan iaitu:

- saiz yang besar (bila dibedung kaki tidak terkeluar)
- lembut dan tidak kasar.
- tidak kedut atau mengecut apabila dibasuh menggunakan mesin basuh.
- sejuk (memandagkan waktu saya bersalin cuaca amat panas)
- mudah menyerap air

lampin yang menjadi pilihan saya ADALAH:
.
.
.

Adam dibedung dengan kain lampin Pigeon

.
.
.
.
.
jenama PIGEON. 

Alhamdulillah saya dapat membedung Adam dengan sempurna memandangkan Adam enggan menggunakan barut. Bila saya pakaikan barut beliau akan menangis tidak selesa.
Terima kasih PIGEON kerana menyelesaikan masalah saya :)
Wassalam 


Friday, November 23

Nasi Goreng Bilis

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Hari ini saya melihat gambar di dalam komputer dan terjumpa gambar nasi goreng ikan bilis. Teringin pula rasanya, semenjak lepas pantang hingga hari ini saya belum lagi memasaknya. Kali terakhir adalah sebelum melahirkan Adam. Resepinya mudah sahaja tapi saya akan kongsi pada entry yang akan datang (tidak dapat meneruskan entry kerana ada kerja yang perlu diselesaikan).

Thursday, November 22

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdulillah setelah hampir setahun tidak menulis, hari ini baru berpeluang mencatatkan tulisan baru di dalam blog ini.
Syukur tahun 2012 memberikan anugerah yang bermakna dengan dikurniakan cahaya mata Adam al Hafiy pada 10 Julai 2012, 5.35 ptg, 3.47 kg, 52 cm.
Pada hari ini usia Adam sudah genap 4 bulan 1 minggu 5 hari. Dan saya masih diberikan rezeki oleh Allah untuk menyusukan anak saya.  (Ya Allah kekalkan rezeki ini sehingga Adam berusia 2 tahun)
Lahirnya Adam banyak mengajar saya erti kehidupan sebagai ibu.
Alhamdulillah banyak cabaran yang datang dapat dihadapi dengan bantuan Allah Taala.
Walaupun pertama kali menjadi ibu namun dengan bantuan yang diperolehi melalui pengalaman yang dikongsi blogger banyak membantu saya menguruskan diri saya dan bayi saya.
InsyaAllah jika punya kesempatan masa saya update entry lagi;)
 Wassalam 

Saturday, August 6

Memandang Ke Langit

Memandang ke langit..
Indah sungguh ciptaan Allah..
Tingginya langit tidak tercapai oleh tangan..
Penciptaannya tidak tercapai dek akal manusia..
Betapa Maha Bijaksana menciptakan bumi ini..
Dan ingatlah bahwa setiap satu yang dijadikan Allah Taala ada hikmahnya.

Friday, August 5

Daging Kunyit Dengan Lada Hitam

Assalamualaikum..
Alhamdulillah hari ini sudah hari ke-5 kita menjalani ibadah puasa. Semoga kita sentiasa diberi kekuatan fizikal dan mental untuk memperbaiki diri sempena bulan yang mulia ini. bagi ibu-ibu yang memasak apa kata sambil memasak kita mulakan dengan bismillah dan selawat moga nanti InsyaAllah masakan akan lebih diberkati Allah dan akan sedap. Ini kerana makanan merupakan salah satu aspek yang akan membentuk jiwa dan peribadi kita. Jadi berikan makan yang bersih lagi halal untuk memastikan diri kita sentiasa bertenaga untuk beribadah. Di sini saya hendak berkongsi satu lagi resipi mudah untuk bebuka puasa atau bersahur.

Bahan-Bahan:
1 cawan daging yang telah dipotong nipis.
1/2 biji bawang merah*
1 inci kunyit*
1/2 inci halia*
1 biji bawang merah di mayang
1/2 cawan air
1 sudu teh lada hitam ditumbuk kasar
1 inci kunyit dipotong halus
Secubit garam dan gula
1 biji cili merah/ hijau dipotong serong.
2 sudu makan minyak untuk menumis.
(* bahan-bahan ini dikisar halus)

Cara-Cara Penyediaan:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang dikisar halus (bertanda *).
2. Bila telah garing / naik bau masukkan lada hitam, kunyit yang dipotong halus dan air kemudian biarkan sehingga mendidih.
3. Masukkan daging, kacau sebentar dan tutup kuali dengan tudung periuk (anggaran masa lebih kurang 3 minit).
4. Bila daging sudah empuk masukkan bawang yang dimayang, cili yang dipotong serong, garam dan juga gula. Kacau rata dan biarkan mendidih lebih kurang 2 minit.
5. Siap untuk dihidang.

Selamat mencuba, Wassalam.

Thursday, August 4

Mee Basah Seafood.

Assalamualaikum..
Bersahur adalah perkara yang amat-amat digalakaan untuk umat Islam yang berpuasa. Mengambil berkat dari bersahur InsyaAllah kita akan sentiasa bertenaga pada siang harinya.
Walaupun ramai yang bersahur dengan makan nasi, jadi sekali sekala jom tukar selera dengan hidangan Mee Basah Seafood.

Bahan-Bahan:
1 bungkus mee kuning.
1 biji bawah merah dikisar halus
1 cawan seafooad (saya guna udang dan sotong)
2 sudu makan cili blander
3 sudu makan sos cili
4 sudu makan kicap manis
1 sudu teh garam (ikut kesesuaian, selalunya kicap dan sos dah masin)
1 cawan sayur yang dipotong halus (carrot, putik jagung dan bunga kobis)
1 biji cili merah serta daun sup dan daun bawang untuk hiasan
2 cawan air
2 sudu makan minyak

Cara Penyediaan:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang yang dikisar.
2. Bila bawang sudah garing masukkan cili mesin dan sos dan kacau sehingga pecah minyak.
3. Masukkan kicap, garam, udang, sotong dan air kosong.
4. Bila mendidih masukkan mee dan sayur-sayuran.
5. Bila mee sudah masak dalam anggaran 2 minit tutup api dan taburkan mee tadi dengan hirisan bawang merah dan daun sup.

Mudahkan dan sedia untuk dihidang. Selamat mencuba, wassalam.