Wednesday, May 25

10 Mei 2011

Assalamualaikum.

Catatan kenangan sempena hari lahir tahun 2011 untuk tatapan hari tua:)
Hadiah daripada suami buat saya. Terima kasih kerana banyak menyokong minat saya:)

Hand-book 101Tip Deko Bersama Eric Leong
Hand-book ini sangat menarik dan boleh diaplikasikan untuk semua jenis rumah tidak kira rumah yang besar atau yang kecil. 101 tips dikongsi oleh Eric bermula daripada ruang masuk ke rumah/ pintu rumah sehinggalah ke kawasan dapur. Banyak informasi dan berwarna-warni pasti tak jemu membacanya.
Wassalam

Masakan Bekal: Mee Goreng Putih

Assalamualaikum
Pukul 4.00 pagi tadi alhamdulillah masih di panjangkan usia untuk bernafas. Selalunya sebelum tidur saya sudah fikir apa jenis sarapan yang akan di masak untuk menjimatkan masa di pagi yang hening itu;) Jadi sarapan yang di masak adalah mihun goreng putih tapi bukan ala-singapore. Bagi saya resipi ini sesuai untuk berdiet kerana tidak menggunakan banyak penambah perisa atau bahan awet.

Mihun Goreng Putih
 Bahan-Bahan
1/2 bungkus bihun  yang telah direndam dengan air suam.
8 biji cili padi dipotong
1 biji cili merah dipotong
10 ekor udang atau boleh jua letak sotong/daging/ayam
1 biji bawang merah dipotong halus
4 sudu makan minyak zaitun (minyak masak biasa pun boleh)
2 sudu teh garam halus (ikut kesesuaian)
1 genggam sayur-sayuran (kobis/sawi/taugeh)
3 batang saleri dipotong halus.
1 biji buah tomato dipotong


Cara Penyediaan 
1. Panaskan minyak dan tumiskan bawang sehingga kekuningan.
2. Masukkan cili api yang dipotong, udang dan juga buah tomato dan biarkan masak seketika lebih kurang 2 minit.
3. Masukkan mihun yang telah direndam dan juga garam dan kacau sehingga rata. Untuk mempercepatkan bihun lembut tutup kuali dengan tudung periuk tapi jangan lama sangat nanti hangit pula mihun.
4. Balik-balikkan bihun sehingga rata dan masukkan batang saleri dan sayur dan biarka selama 1 minit.
akhirnya sedia untuk dihidang bersama telur goreng.

Jadi tiada bahan perasa atau pewarna dan juga ditambah pula dengan minyak zaitun InsyaAllah dapat mengekalkan kesihatan yang baik.
Wassalam.
3.

Logo Halal Untuk Barangan Yang Diimport

 Assalamualaikum.

Bila buka facebook dan blog rakan-rakan banyak pula timbul isu mengenai status halal untuk bahan-bahan masakan dan juga makanan. Jadi sebagai memenuhi tuntutan fardu kifayah saya menulis entry kali ini.

Sekiranya barangan buatan Malaysia kita boleh rujuk kepada logo yang tertera (tetapi pastikan logo tersebut dikeluarkan oleh JAKIM). Bagaimana pula dengan barangan yang diimport dari luar seperti minyak zaitun, spagetti, daging lembu dan lain-lain? Ini kerana logo yang digunakan adalah berbeza-beza mengikut negara masing-masing.

Bagi menjawab persoalan ini bolehlah layari web site Halal JAKIM kerana pihak ini telah menyenaraikan logo-logo Halal yang diiktiraf daripada negara luar. Tetapi status ini akan disemak dari semasa ke semasa dan bukannya kekal. Untuk mengetahui logo-logo tersebut sila semak di sini. (Rasa macam hendak cetak dan letak dalam handbag setiap kali pergi membeli barang..heheh:). Selamat menyemak.

Wassalam

1 Malaysia 1 Logo Halal

Logo Halal (Malaysia). Sumber: halal.gov.my/2011
Assalamualaikum..
Makanan merupakan salah satu faktor yang akan mempengaruhi jasmani dan rohani kita sebagai umat Islam. Kepentingan makanan yang halal adalah satu perkara yang perlu dititik beratkan bagi memastikan ibadah dan kehidupan kita menjadi sempurna. Kini sebagai pengguna dengan mudah kita dapat menyemak status makanan dan premis yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Sekiranya ingin tahu adakah barangan dan makanan yang kita gunakan adalah benar-benar halal atau sebaliknya jadi boleh  semak di sini. Wassalam

Tuesday, May 24

Masakan Bekal - Mee Goreng

Assalamualaikum

Mee Goreng
Menu masakan untuk bekal pada pukul 4.00 pagi hari ini adalah mee goreng. Mudah dan cepat disediakan dan secara tidak lansung menjimatkan perbelanjaan harian membeli sarapan. Jadi mari apa bahan-bahan yang diperlukan?

Bahan-Bahan:
1 peket mee kuning (direndam sekejap di dalam air bagi menghilangkan rasa kapur).
10 ekor udang (atau boleh gunakan sotong/ayam/daging)
2 biji telur ayam (kalau suka)
1 biji bawang merah dipotong halus
3 batang celeri
1 genggam kobis yang dipotong halus (atau boleh juga letak taugeh).
3 sudu makan  minyak untuk menumis bawang
3 sudu makan  cili kisar / cili boh (boleh kurang atau tambah ikut selera masing-masing)
4 sudu makan kicap manis (boleh tambah atau kurang mengikut selera masing-masing)
1 biji tomato dibelah empat (atau gantikan dengan sos cili sebanyak 3 sudu besar)

Cara Penyediaan:
1. Panaskan minyak dan tumiskan bawang sehingga kekuningan.
2. Masukkan cili kisar dan tomoto sambil dikacau untuk mengelakkan hangit.
3. Bila cili sudah masak masukkan udang dan pecahkan dua biji telur dan kacau sehingga masak.
4. Masukkan mee dan juga kicap manis dan kacau rata, sekiranya mee agak keras letakkan 1/2 cawan air dan tutup kuali dengan tudung periuk. Ini petua bagi mempercepatkan tempoh masakan.
5. Selepas 3 minit buka tudung periuk dan kacau mee tadi sehingga rata dan masukkan batang saleri dan kobis. Masakkan selama 1 minit dan boleh dihidang. Mudahkan dalam 10 minit sahaja sarapan pagi siap.

Nota: Saya tidak letakkan garam kerana selalunya kicap sudah masin, tetapi sekiranya kicap yang anda gunakan tidak masin sila tambah garam sebanyak 1 sudu teh atau mengikut selera masing-masing.Wassalam

Masakan Bekal Pada Pukul 4.00 pagi.

Assalamualaikum.

Apa khabar semua? Harap sihat sejahtera. Tajuk hari ini adalah tentang masakan bekal pukul 4.00 pagi. Ceritanya begini, semenjak 16.1.2011 maka bermulalah episod bangun tidur pada pukul 4.00 pagi dan terus memasak makanan untuk suami yang akan bertolak ke tempat kerja pada pukul 4.20 atau 4.30 pagi. Jadi masa yang ada amat terhad dan perlu memasak dengan pantas. Saya hanya mempunyai masa lebih kurang 15 minit untuk menyiapkan makanan. Alhamdulillah sehingga kini saya masih dapat melaksanakan tanggungjawab ini. Mudah-mudahan diberi kekuatan untuk terus bertugas memasak seawal 4.00 pagi. InsyaAllah mulai hari ini saya akan berkongsi resipi atau masakan yang cepat dan mudah disediakan di pagi hari sebagai rujukan dan juga kenangan pada masa hadapan.Wassalam

Air Mangga Segar

Assalamualaikum..
Hari ini saya hendak kongsi mengenai buah mangga yang telah masak ranum. Alhamdulillah berbuah lebat musim ini sampai tidak termampu untuk makan. Syukur juga ramai jiran-jiran yang dapat merasa pada musim ini. Semalam saya teringin pula hendak minum jus mangga. Jadi dengan gigih saya mengupasnya kerana buah ini saiznya kecil-kecil tetapi rasanya sangat manis. Berikut adalah gambar magga tersebut, orang kampung saya namakan sebagai mempelam telur (sebab bentuknya macam telur) tetapi di negeri lain apa namanya ya?

Buah mempelam telur yang ranum dan manis










Mempelam telur yang sudah dikupas

 Di sini saya hendak berkogsi cara membuat Jus Mangga yang sangat mudah.

Bahan-Bahan.
1. 20 biji mempelam telur.
2. Gula pasir 4 sudu besar (kalau hendak lagi manis boleh tambah)
3. Ais batu.
4. 1/2 cawan air mineral.

Cara Penyediaan:
1. Kupas buah mempelam telur dan potong bahagian isinya.
2. Masukkakan isi buah mempelam tersebut kedalam  pengisar dan campurkan dengan gula serta 1/2 cawan air mineral. Kemudian dikisar (tidak perlu terlalu halus supaya dapat rasa isi buah mempelam tersebut).
3. Tuangkan ke dalam jug dan tambahkan dengan 1 cawan air mineral (jika terlalu pekat boleh tambahkan air lagi) dan akhir sekali tambah air batu. Siap dan sungguh mudah tapi segar dan berkhasiat.Selamat mencuba.
Wassalam.

Monday, May 23

Makan Malam: Ri-Yaz Heritage

Assalamualaikum..

Jalan-jalan ke mana pula kali ni? Entry kali ini masih menceritakan tentang percutian di Ri-Yaz Heritage. Walaupun waktu petang dah menikmati Hi-Tea tapi bila malam lepas isyak perut terasa lapar jadi saya pun mengajak suami makan malam di Verandah. Kali ini kami makan ala-carte sahaja sebab kalau ambil buffet dinner nanti tak larat pula nak makan.

Saya memilih nasi goreng Che' Mek Molek yang sememangnya sedap. Manakala suami saya pula memilih spaghetti goreng mamak. Alhamdulillah memang kenyang malam tu.

Spaghetti Goreng Mamak


Nasi Goreng Che' Mek Molek

Hi-Tea di Riyaz Heritage

Kebab Ayam
Assalamualaikum...
Hujung minggu tadi (jumaat dan sabtu) kami ke Ri-Yaz Heritage sebab nak menghabiskan boucer penginapan percuma dan juga sebagai sambutan belated birtday saya pada 10/5/2011 yang lalu. Sampai di sana jam sudah menunjukkan pukul 3.30 petang. Perut pun dah berkeroncong sebab belum makan tengahari, jadi kami pun menikmati Hi-Tea di Verandah Restaurant. Makanan di sini sedap dan memang banyak, jadi kalau hendak menikmati Hi-Tea istimewa bolehlah ke sini pada setiap hari Jumaat.
Ini antara makanan yang saya makan dan memang SEDAP, tetapi laksa johor tak sempat ambil gambar sebab memang sedap dan terus terlupa nak ambil gambar.

Salad and Sushi

Yong Taufu

Rojak Buah

Bubur jagung

Ais kacang

Sunday, May 22

Suria Cherating Beach Resort

Jika ingin bercuti ke Cherating bolehlah tidur di Suria Cherating Beach Resort. Bulan lepas suami saya berkursus di di resort ini, jadi saya pun mengambil peluang untuk bercuti di sini.
Lagi satu, bilik yang saya menginap tidak menggunakan hamparan karpet pada lantai tetapi menggunakan lantai mozek sahaja. Memang gembira sangat sebab saya akan mengalami alahan pada karpet yang berdebu. Jadi kalau anda alah juga pada debu karpet jadi tak perlu risaulah.
Resort ini memang cantik dan ada private beach. Kalau waktu petang lagi seronok sebab boleh berjalan-jalan di pantai sambil menikmati tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa. 

Pemandangan dari kolam renang

Monday, May 16

Pembinaan Rumah

Assalamualaikum..

Pengalaman membina rumah merupakan satu perkara baru memberikan banyak pendedahan tentang pelbagai prosedur yang perlu dilalui:

Di sini saya catatkan perkembangan dan langkah-langkah yang telah di ambil di dalam usaha menyiapkan rumah:

1. Bulan Disember 2010 ; mendapat kelulusan pelan daripada majlis daerah.
2. Bulan Januari-Februari 2011; hujan lebat dan pembinaan ditangguhkan.
3. Bulan Mac 2011: pembinaan pagar dan permohonan penyambungan air untuk memudahkan pembinaan.



4. Bulan April 2011: hujan lebat dan pembinaan di tangguhkan.
5. Bulan Mei 2011: pembinaan tapak rumah.


Pancake

Pertama kali membuat pancake dengan berbekalkan resipi dari Chef Mat Gebu. klik di sini. Rasanya memang sedap dan tidak terlalu manis. Penyediaannya pun mudah dan sesiapa sahaja mampu mencubanya.


Wednesday, May 4

Sambal Telur

Assalamualaikum..

Resipi yang mudah dan sedap tentunya sambal telur... :) Perut tengah lapar jadi teringat sambal telur yang dimasak minggu lepas tapi gambarnya masih lagi dalam handphone.. hehe


Sambal telur
Nota: Untuk menghasilkan sambal telur yang enak tidak perlu letak air di dalam kuah dan letakkan sedikit kicap. InsyaAllah akan lebih sedap..

Hotel Tanjung Vista Terengganu

Assalamualaikum.




Menginap di hotel yang baru dibuka merupakan satu kegembiraan kerana semuanya masih baru dan cantik. Sewaktu menghadiri program di Terengganu saya telah menginap di Hotel Tanjung Vista , Kuala Terengganu. Hotel ini baru sahaja dibuka dan saya adalah pelanggan yang ke 5000+++. Dari tingkap bilik boleh lihat pemandangan bandar Terengganu dan juga pantai di belakang hotel. Harganya pun berpatutan lebih-lebih lagi kalau guna goverment rate :).Jadi marilah melawat Terengganu kite ....

Hotel Tanjung Vista

1st Watermelon

Assalamualaikum..

Pernah tak tanpa disangka-sangka pokok tembikai telah tumbuh dengan segarnya tanpa ditanam, disiram dan dibaja. Begitu lah yang terjadi kepada saya yang berjaya merasa buah tembikai yang segar di tepi rumah. Ada 5 biji yang masak dan masih ada 1 biji yang masih belum masak, manakala yang lain masih berbunga. Jom tengok hasil tembikai saya:
Tembikai Yang Manis (berat 3 kg)                                                                                                                                                                                               
Jom tengok bunga tembikai pula:

Bunga Tembikai
Tembikai amat sesuai dengan tanah yang berpasir dan tidak terlalu basah. Tumbuhan ini sifatnya menjalar di atas tanah.
Buah Tembikai Yang Masih Belum Masak.
Jadi apa kata kalau sekiranya di rumah anda ada kawasan berpasir cubalah menanam buah tembikai, jadi boleh makan tembikai yang ditanam sendiri dan tentunya bebas dari sebarang racun.

Nota: Lady bird suka makan pucuk dan daun tembikai jadi untuk mencegah serangan semburkan dengan baja organik iaitu gunakan air yang dicampur cili api yang telah dikisar halus dan sembur pada daun tembikai atau tempat yang terkena serangan.. Selamat mencuba