Friday, August 5

Daging Kunyit Dengan Lada Hitam

Assalamualaikum..
Alhamdulillah hari ini sudah hari ke-5 kita menjalani ibadah puasa. Semoga kita sentiasa diberi kekuatan fizikal dan mental untuk memperbaiki diri sempena bulan yang mulia ini. bagi ibu-ibu yang memasak apa kata sambil memasak kita mulakan dengan bismillah dan selawat moga nanti InsyaAllah masakan akan lebih diberkati Allah dan akan sedap. Ini kerana makanan merupakan salah satu aspek yang akan membentuk jiwa dan peribadi kita. Jadi berikan makan yang bersih lagi halal untuk memastikan diri kita sentiasa bertenaga untuk beribadah. Di sini saya hendak berkongsi satu lagi resipi mudah untuk bebuka puasa atau bersahur.

Bahan-Bahan:
1 cawan daging yang telah dipotong nipis.
1/2 biji bawang merah*
1 inci kunyit*
1/2 inci halia*
1 biji bawang merah di mayang
1/2 cawan air
1 sudu teh lada hitam ditumbuk kasar
1 inci kunyit dipotong halus
Secubit garam dan gula
1 biji cili merah/ hijau dipotong serong.
2 sudu makan minyak untuk menumis.
(* bahan-bahan ini dikisar halus)

Cara-Cara Penyediaan:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang dikisar halus (bertanda *).
2. Bila telah garing / naik bau masukkan lada hitam, kunyit yang dipotong halus dan air kemudian biarkan sehingga mendidih.
3. Masukkan daging, kacau sebentar dan tutup kuali dengan tudung periuk (anggaran masa lebih kurang 3 minit).
4. Bila daging sudah empuk masukkan bawang yang dimayang, cili yang dipotong serong, garam dan juga gula. Kacau rata dan biarkan mendidih lebih kurang 2 minit.
5. Siap untuk dihidang.

Selamat mencuba, Wassalam.

1 comment:

Johnny Ong said...

u must be a good cook.
clicked on yr nuffnang adverts too