Wednesday, May 25

10 Mei 2011

Assalamualaikum.

Catatan kenangan sempena hari lahir tahun 2011 untuk tatapan hari tua:)
Hadiah daripada suami buat saya. Terima kasih kerana banyak menyokong minat saya:)

Hand-book 101Tip Deko Bersama Eric Leong
Hand-book ini sangat menarik dan boleh diaplikasikan untuk semua jenis rumah tidak kira rumah yang besar atau yang kecil. 101 tips dikongsi oleh Eric bermula daripada ruang masuk ke rumah/ pintu rumah sehinggalah ke kawasan dapur. Banyak informasi dan berwarna-warni pasti tak jemu membacanya.
Wassalam

Masakan Bekal: Mee Goreng Putih

Assalamualaikum
Pukul 4.00 pagi tadi alhamdulillah masih di panjangkan usia untuk bernafas. Selalunya sebelum tidur saya sudah fikir apa jenis sarapan yang akan di masak untuk menjimatkan masa di pagi yang hening itu;) Jadi sarapan yang di masak adalah mihun goreng putih tapi bukan ala-singapore. Bagi saya resipi ini sesuai untuk berdiet kerana tidak menggunakan banyak penambah perisa atau bahan awet.

Mihun Goreng Putih
 Bahan-Bahan
1/2 bungkus bihun  yang telah direndam dengan air suam.
8 biji cili padi dipotong
1 biji cili merah dipotong
10 ekor udang atau boleh jua letak sotong/daging/ayam
1 biji bawang merah dipotong halus
4 sudu makan minyak zaitun (minyak masak biasa pun boleh)
2 sudu teh garam halus (ikut kesesuaian)
1 genggam sayur-sayuran (kobis/sawi/taugeh)
3 batang saleri dipotong halus.
1 biji buah tomato dipotong


Cara Penyediaan 
1. Panaskan minyak dan tumiskan bawang sehingga kekuningan.
2. Masukkan cili api yang dipotong, udang dan juga buah tomato dan biarkan masak seketika lebih kurang 2 minit.
3. Masukkan mihun yang telah direndam dan juga garam dan kacau sehingga rata. Untuk mempercepatkan bihun lembut tutup kuali dengan tudung periuk tapi jangan lama sangat nanti hangit pula mihun.
4. Balik-balikkan bihun sehingga rata dan masukkan batang saleri dan sayur dan biarka selama 1 minit.
akhirnya sedia untuk dihidang bersama telur goreng.

Jadi tiada bahan perasa atau pewarna dan juga ditambah pula dengan minyak zaitun InsyaAllah dapat mengekalkan kesihatan yang baik.
Wassalam.
3.

Logo Halal Untuk Barangan Yang Diimport

 Assalamualaikum.

Bila buka facebook dan blog rakan-rakan banyak pula timbul isu mengenai status halal untuk bahan-bahan masakan dan juga makanan. Jadi sebagai memenuhi tuntutan fardu kifayah saya menulis entry kali ini.

Sekiranya barangan buatan Malaysia kita boleh rujuk kepada logo yang tertera (tetapi pastikan logo tersebut dikeluarkan oleh JAKIM). Bagaimana pula dengan barangan yang diimport dari luar seperti minyak zaitun, spagetti, daging lembu dan lain-lain? Ini kerana logo yang digunakan adalah berbeza-beza mengikut negara masing-masing.

Bagi menjawab persoalan ini bolehlah layari web site Halal JAKIM kerana pihak ini telah menyenaraikan logo-logo Halal yang diiktiraf daripada negara luar. Tetapi status ini akan disemak dari semasa ke semasa dan bukannya kekal. Untuk mengetahui logo-logo tersebut sila semak di sini. (Rasa macam hendak cetak dan letak dalam handbag setiap kali pergi membeli barang..heheh:). Selamat menyemak.

Wassalam

1 Malaysia 1 Logo Halal

Logo Halal (Malaysia). Sumber: halal.gov.my/2011
Assalamualaikum..
Makanan merupakan salah satu faktor yang akan mempengaruhi jasmani dan rohani kita sebagai umat Islam. Kepentingan makanan yang halal adalah satu perkara yang perlu dititik beratkan bagi memastikan ibadah dan kehidupan kita menjadi sempurna. Kini sebagai pengguna dengan mudah kita dapat menyemak status makanan dan premis yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Sekiranya ingin tahu adakah barangan dan makanan yang kita gunakan adalah benar-benar halal atau sebaliknya jadi boleh  semak di sini. Wassalam

Tuesday, May 24

Masakan Bekal - Mee Goreng

Assalamualaikum

Mee Goreng
Menu masakan untuk bekal pada pukul 4.00 pagi hari ini adalah mee goreng. Mudah dan cepat disediakan dan secara tidak lansung menjimatkan perbelanjaan harian membeli sarapan. Jadi mari apa bahan-bahan yang diperlukan?

Bahan-Bahan:
1 peket mee kuning (direndam sekejap di dalam air bagi menghilangkan rasa kapur).
10 ekor udang (atau boleh gunakan sotong/ayam/daging)
2 biji telur ayam (kalau suka)
1 biji bawang merah dipotong halus
3 batang celeri
1 genggam kobis yang dipotong halus (atau boleh juga letak taugeh).
3 sudu makan  minyak untuk menumis bawang
3 sudu makan  cili kisar / cili boh (boleh kurang atau tambah ikut selera masing-masing)
4 sudu makan kicap manis (boleh tambah atau kurang mengikut selera masing-masing)
1 biji tomato dibelah empat (atau gantikan dengan sos cili sebanyak 3 sudu besar)

Cara Penyediaan:
1. Panaskan minyak dan tumiskan bawang sehingga kekuningan.
2. Masukkan cili kisar dan tomoto sambil dikacau untuk mengelakkan hangit.
3. Bila cili sudah masak masukkan udang dan pecahkan dua biji telur dan kacau sehingga masak.
4. Masukkan mee dan juga kicap manis dan kacau rata, sekiranya mee agak keras letakkan 1/2 cawan air dan tutup kuali dengan tudung periuk. Ini petua bagi mempercepatkan tempoh masakan.
5. Selepas 3 minit buka tudung periuk dan kacau mee tadi sehingga rata dan masukkan batang saleri dan kobis. Masakkan selama 1 minit dan boleh dihidang. Mudahkan dalam 10 minit sahaja sarapan pagi siap.

Nota: Saya tidak letakkan garam kerana selalunya kicap sudah masin, tetapi sekiranya kicap yang anda gunakan tidak masin sila tambah garam sebanyak 1 sudu teh atau mengikut selera masing-masing.Wassalam

Masakan Bekal Pada Pukul 4.00 pagi.

Assalamualaikum.

Apa khabar semua? Harap sihat sejahtera. Tajuk hari ini adalah tentang masakan bekal pukul 4.00 pagi. Ceritanya begini, semenjak 16.1.2011 maka bermulalah episod bangun tidur pada pukul 4.00 pagi dan terus memasak makanan untuk suami yang akan bertolak ke tempat kerja pada pukul 4.20 atau 4.30 pagi. Jadi masa yang ada amat terhad dan perlu memasak dengan pantas. Saya hanya mempunyai masa lebih kurang 15 minit untuk menyiapkan makanan. Alhamdulillah sehingga kini saya masih dapat melaksanakan tanggungjawab ini. Mudah-mudahan diberi kekuatan untuk terus bertugas memasak seawal 4.00 pagi. InsyaAllah mulai hari ini saya akan berkongsi resipi atau masakan yang cepat dan mudah disediakan di pagi hari sebagai rujukan dan juga kenangan pada masa hadapan.Wassalam

Air Mangga Segar

Assalamualaikum..
Hari ini saya hendak kongsi mengenai buah mangga yang telah masak ranum. Alhamdulillah berbuah lebat musim ini sampai tidak termampu untuk makan. Syukur juga ramai jiran-jiran yang dapat merasa pada musim ini. Semalam saya teringin pula hendak minum jus mangga. Jadi dengan gigih saya mengupasnya kerana buah ini saiznya kecil-kecil tetapi rasanya sangat manis. Berikut adalah gambar magga tersebut, orang kampung saya namakan sebagai mempelam telur (sebab bentuknya macam telur) tetapi di negeri lain apa namanya ya?

Buah mempelam telur yang ranum dan manis










Mempelam telur yang sudah dikupas

 Di sini saya hendak berkogsi cara membuat Jus Mangga yang sangat mudah.

Bahan-Bahan.
1. 20 biji mempelam telur.
2. Gula pasir 4 sudu besar (kalau hendak lagi manis boleh tambah)
3. Ais batu.
4. 1/2 cawan air mineral.

Cara Penyediaan:
1. Kupas buah mempelam telur dan potong bahagian isinya.
2. Masukkakan isi buah mempelam tersebut kedalam  pengisar dan campurkan dengan gula serta 1/2 cawan air mineral. Kemudian dikisar (tidak perlu terlalu halus supaya dapat rasa isi buah mempelam tersebut).
3. Tuangkan ke dalam jug dan tambahkan dengan 1 cawan air mineral (jika terlalu pekat boleh tambahkan air lagi) dan akhir sekali tambah air batu. Siap dan sungguh mudah tapi segar dan berkhasiat.Selamat mencuba.
Wassalam.